Wednesday, May 20, 2015

TARIAN MELAYU 3

1.0 PENDAHULUAN
Tarian adalah adalah suatu persembahan dengan gaya ekspresi diri dan komunikasi yang universal. Ia ditakrifkan sebagai seni gerak. Seni gerak mengandungi segala gerakan tubuh badan yang mempunyai unsur-unsur keindahan . Seni ini dapat dilihat pada gerakan tangan, kaki, badan, mata dan anggota badan yang lain.
Seorang ahli sejarah tarian dan muzik Jerman bernama C. Sachs telah memberikan definisi seni tari sebagai gerakan yang berirama. Seni tari adalah pengucapan jiwa manusia melalui gerak-geri berirama yang indah. Dalam kebudayaan melayu terdapat berbagai-bagai jenis tarian , sama ada tarian asli ataupun tarian yang telah dipengaruhi oleh unsur-unsur moden. Menurut Jaafar Mampak, tarian melayu asliterbahagi kepada dua jenis. Pertama, tarian yang bercorak lemah lembut seperti tarianMak Inang dan Siti Payung. Kedua, tarian rancak yang merupakan hasil daripada pengaruh tarian Portugis seperti tarian Ronggeng, Serampang Laut dan Singapura Dua.
Seni tari boleh dikategorikan dalam berbagai-bagai jenis. Antara pembahagian yang boleh dibuat terhadap seni tari melayu adalah tarian-tarian yang bercorak seni tari istana yang dipersembahkan pada waktu perkahwinan, pertabalan, istiadat menyembah dan sebagainya. Tarian-tarian ini termasuklah tarian Siti Payung, Mak Inang, Asyik, Gamelan dan sebagainya. Jenis kedua ialah tarian-tarian yang memperlihatkan wujudnya pengaruh Arab dan Parsi seperti tarian Rodat, Hadrah dan sebagainya. Ketiga ialah Tarian rakyat seperti Dondang Sayang, Ronggeng, Joget dan sebagainya. Keempat ialah tarian yang khusus ditarikan oleh kaum lelaki sahaja seperti tarian Kuda Kepang ,tarian Labi-labi, tarian Berdayung dan sebagainya.

2.0 ISI
2.1 DASAR-DASAR KEBUDAYAAN
Maksud Dasar
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, dasar dapat didefinisikan sebagai suatu  pertimbangan (cara, sisitem dan lain-lain) yang pokok, bukan sesuatu, asas, prinsip atau teras. Hal ini bermakna sesebuah dasar itu dapat didefinisikan sebagai satu pengistiharan (hasrat dan ideology kerajaan) dibuat dari semasa ke semasa untuk melesaikan atau mendapatkan  hasil atau mencapai objektif.
Maksud Kebudayaan
Kebudayaan merupakan seluruh cara hidup sesuatu masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkahlaku manusia yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses pembelajaran. Kebudayaan amat penting bagi individu atau masyarakat. Cara hidup sesuatu kumpulan manusia atau masyarakat itu tidak dapat difahami melainkan melalui kebudayaan. Kebudayaan dapat membezakan antara suatu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Dalam konteks Malaysia, kebudayaan itu dilihat daripada aspek persamaan dan perbezaan cara hidup antara kita sebagai rakyat Malaysia yang kita panggil sebagai  masyarakat Malaysia. Apa yang dimaksudkan sebagai kebudayaan di sini menurut definisi  sosiologi ialah cara hidup yang menjadi kepunyaan bersama. Dari perspektif sosiologi kebudayaan membawa pengertian segala hasil dan idea yang dipelajari dan dikongsi oleh ahli-ahli dalam sebuah masyarakat. Ini termasuklah segala kepercayaan, nilai-nilai politik, adat resam, undang-undang, moral, institusi sosial, seni lukis,bahasa dan bahan-bahan material.
Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajah Inggeris kita mewarisi cara hidup zaman penjajah yang mengamalkan dasar "divide and rule". Masyarakat terbahagi  kepada golongan atau ras dengan kebudayaan yang bercorak sukuan. Masyarakat pada ketika  itu tidak mempunyai dasar-dasar kebudayaan yang pokok yang menjadi kepunyaan bersama. Kesan daripada warisan zaman penjajahan itu menyebabkan rakyat Malaysia tidak mempunyai kejiwaan Malaysia. Warganegara yang berasal dari golongan imigran masih meletakkan taat setia dan berkiblat kepada negara asalnya. Oleh itu, wujud semacam banteng  budaya (cultural barrier) antara golongan imigran dengan penduduk peribumi Malaysia. Adalah diakui bahawa perbezaan keturunan atau ras tidak dapat dihapuskan, tetapi ciri-ciri  kebudayaan yang pokok harus ditonjolkan supaya dapat menentukan corak keperibadian  kebangsaan yang memperlihat identiti masyarakat Malaysia. Dengan cara yang demikian  corak kebudayaan sukuan dapat diperkecilkan dan semangat kebangsaan Malaysia  dapat diperkukuhkan demi untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersepadu.
Dasar kebudayaan
Dasar Kebudayaan telah diwujudkan dinegara ini adalah bertujuan untuk menjaga perpaduan di Negara ini.    Hal ini adalah kerana Sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia tentu tidak akan dapat lari daripada menghadapi pelbagai masalah sosial dan perpaduan. Oleh sebab perpaduan amat penting dalam memupuk semangat nasionalisme dan kenegaraan, sudah tentulah negara-negara yang menghadapi masalah ini akan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan sebarang keretakan dan konflik perkauman di negara masing-masing. Di Malaysia, masalah yang kerap diperkatakan berhubung dengan perpaduan ialah masalah polarisasi. Walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan sejak tahun 1957, namun persoalan dan masalah pembentukan kebudayaan kebangsaan masih menjadi satu perkara yang ditinggalkan untuk dibincangkan oleh para pengkaji budaya. Perbahasan tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan sering diadakan, terutamanya di kalangan para ahli politik, badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang ada hubungan dengan kebudayaan. Harapan negara untuk menyatupadukan masyarakat melalui kebudayaan kebangsaan adalah tidak mustahil asalkan rakyat Malaysia sanggup menerima kebudayaan kebangsaan sebagai kebudayaan setiap kaum di negara ini.
Setelah meneliti pelbagai masalah yang dihadapi oleh Kerajaan didalam menyatupadukan rakyat Malaysia seperti berlakunya peristiwa 13 Mei 1963, maka kerajaan telah menubuhkan kongres Dasar Kebudayaan Kebangsaan Pada Tahun 1971, perkara ini telah dibahaskan di dalam parlimen dan kemudiannya ia telah dipersetujui oleh ahli parlimen akhir Dasar Kebudayaan Kebangsaan  di laksanakan bagi bertujuan menyatu padukan kaum dan masyarakat di Negara ini, agar mereka hidup lebih harmoni dan aman damai.
Rasional dasar kebudayaan
Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.
Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia.
Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, penwujudan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:
(i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.
(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan - Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.
Objektif dasar kebudayaan
Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatupadu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:

                                i.            Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;
                              ii.            Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan
                            iii.            Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.
Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut
                                i.            Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;
                              ii.            Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;
                            iii.            Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;
                            iv.            Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan
                              v.            Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

2.2 PERANAN KEMENTERIAN KEBUDAYAAN MALAYSIA
Objektif jabatan
1.      Mengekal dan mengembangkan kebudayaan dan kesenian.
2.      Memperbanyakkan aktiviti seni budaya ke segenap lapisan masyarakat.
3.      Menyebarkan maklumat seni budaya kepada orang awam dalam dan luar negara.
4.      Menyediakan kemudahan prasarana seni dan budaya yang kondusif dan khidmat nasihat kepada masyarakat Malaysia.
5.      Meningkatkan pembangunan produk seni budaya ke arah gagasan 1Malaysia.
Fungsi
1.      Merancang, merangka, menyelaras dan menilai dasar/akta kebudayaan bagi mengawal dan memantau perkembangan/pertumbuhan kegiatan seni, budaya dan warisan negara.
2.      Merancang dan menyelaras penyelidikan dan kajian impak berkaitan kebudayaan kebangsaan melalui kerjasama awam dan swasta.
3.      Menyelaras Jawatankuasa Dasar Industri Kreatif dan Jawatankuasa Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
4.      Memberi khidmat nasihat berkaitan dasar seni, budaya dan warisan serta khidmat nasihat kepada Badan Bukan Kerajaan (BBK) dan Penggiat Seni.
5.      Menyelaras dan menyemak penyediaan Kertas Jemaah Menteri, ulasan Memorandum Jemaah Menteri daripada Kementerian lain yang memerlukan input Sektor Kebudayaan dan Jawapan Pertanyaan Parlimen bagi Sektor Kebudayaan.
6.      Keurusetiaan Jawatankuasa Panel Penilai Kebudayaan:
                                                                                i.            Bantuan Pentadbiran dan Kegiatan BBK berkaitan Kebudayaan; dan
                                                                              ii.            Kumpulan Wang Amanah Kebudayaan dan Kebajikan Penggiat Seni (KWAKKPS)
7.      Menyelaras dan menganalisa keberkesanan pemberian bantuan dan pemantauan berkala.
8.      Merancang dan menyelaras aktiviti bagi menambah dana KWAKKPS.
9.      Merancang dan menyelaras pembangunan dan pemerkasaan kebudayaan dan program nilai-nilai murni dan jati diri melalui kempen, seminar, dialog, ceramah, wacana dan lain-lain aktiviti.
10.  Menyelaras pendokumentasian dan penerbitan untuk memperkasakan pembangunan.

2.3 CIRI-CIRI SEORANG PENARI
Kesediaan tubuh secara fizikal bagi seorang penari sangat vital keberadaannya untuk melakukan aktiviti gerak tari. Kemahiran tarian yang dimiliki boleh dibentuk melalui kesediaan organ-organ tubuh (fizikal) yang akan digunakan untuk melakukan gerak. Untuk melakukan gerak tari dengan mahir perlu adanya kesediaan fizikal yang prima. Keadaan ini dapat dicapai apabila seorang penari dengan sedar melakukan kesediaan-kesediaan seluruh organ tubuh dengan rutin (continue). Dengan erti kata lain, bahawa secara sedar seorang penari harus melakukan pemprosesan gerak tubuh secara merata dan sempurna.
Pengertian pemprosesan tubuh bagi seorang penari atau sering disebut dengan olah tubuh adalah suatu kegiatan manusia mengolah tubuh yang dengan sengaja menjadikan barangan mentah menjadi barang jadi, sehingga siap untuk dipergunakan. Kegiatan ini mengandung maksud iaitu usaha mempersiapkan organ tubuh dalam keadaan stabil (tetap / biasa) menjadi keadaan yang tidak stabil (lentur / mudah bergerak). Perkataan olah tubuh menunjukkan bahawa tekanan aktiviti pada pemprosesan tubuh manusia seutuhnya meliputi jiwa dan raga, yang menjadi satu kesatuan.
Olah tubuh bagi seorang penari adalah suatu bentuk aktiviti yang dilakukan dengan jalan melakukan susunan latihan yang teratur termasuk otot-otot, sendi, dan seluruh organ tubuh agar sentiasa bersedia berfungsi bergerak dengan baik dan optimum serta diharapkan mampu menambah kualiti gerak.
Di dalam menari, gerak-gerak yang dilakukan oleh penari tentunya mempunyai tuntutan tertentu walaupun pada prinsipnya adalah menggerakkan sekmen-sekmen tubuh. Melihat kontek gerak dalam tarian dengan tuntutan nilai estetik, maka tidaklah sekadar menggerakkan badan seperti dalam aktiviti sehari-hari. Tidaklah mudah memunculkan nilai estetik (yang abstrak) tanpa didahului dengan proses gerak tubuh (materi) yang dapat ditangkap oleh deria penglihatan. Untuk itu bermula dari kemampuan melakukan gerakan-gerakan tubuh, seorang penari menyampaikan perasaannya dengan bahasa gerak. Maka yang terpenting dalam hal ini berpangkal dari tubuh manusia yang menjadi titik tolak sebagai bahasa dalam seni tari.
Seorang penari harus sedar akan keupayaan, kelebihan dan kekurangan dari tubuh yang dimiliki, untuk kemudian melatihnya agar liputan geraknya dapat lebih leluasa (Murgiyanto, 1983). Setiap gerakan dalam setiap sekmen tubuh harus dilatih secara beransur-ansur dan berterusan yang meliputi dari tiga aspek, iaitu:
1.      Tenaga: berkaitan dengan stamina yang dimiliki untuk melakukan gerak cepat, keras, kencang dan sebagainya.
2.      Ruang: iaitu usaha sekmen tubuh boleh digerakkan ke pelbagai arah yang memakan / menduduki ruang.
3.      Masa: berkaitan dengan tempoh yang diperlukan untuk dilakukan dalam melakukan latihan olah tubuh dan ideal adalah dalam masa yang stabil, misalnya satu hari satu kali @ 60 minit.
Olah tubuh dalam seni tari erat kaitannya dengan latihan fizikal penari. Kerana melatih keadaan fizikal bagi penari sangat penting untuk mengembangkan kemampuannya dalam menari. Beberapa keadaan fizikal yang perlu dilatih antara lain:
1.      Kekuatan (strength)
2.      Kelajuan (speed)
3.      Daya tahan (endurance)
4.      Kelincahan (flexibility)
5.      Penyelarasan (coordination)
6.      Ketetapan (accuracy)
Kesediaan tubuh seorang penari akan memberi kesan pada kualiti gerak tari. Kualiti gerak tari berkaitan pada unsur-unsur gerak yang meliputi:
1.      Bentuk: rumit dan sederhananya gerakan
2.      Volume: luas dan sempitnya gerak
3.      Tekanan: keras dan lemahnya gerakan
4.      Tempo: cepat dan lambatnya gerakan
Jika keadaan fizikal penari prima, baik sebelum menari ataupun setelah menari, akan memberikan keleluasaan bagi penari penari untuk lebih fokus pada imaginasi, ekspresi dan penghayatan tarian. Kerana jika salah satu sekmen tubuh tidak dalam keadaan prima maka akan terganggu pula seluruh penampilan yang dibawakan.
Kaedah latihan olah tubuh
Menggunakan kaedah latihan olah tubuh dijangka akan membuat gerakan menjadi teratur dan sistematik sehingga mendapatkan hasil sesuai yang diharapkan dan terkawal. Adapun susunan latihan olah tubuh adalah sebagai berikut:
1.      Pemanasan.
Kegunaaan pemanasan dalam latihan olah tubuh adalah:
·         Menyiapkan anatomis, physiologist dan psychologist penari dalam berlatih
·         Sebagai pencegahan terhadap terjadinya kecederaan selama menjalankan aktiviti.
2.      Latihan teras
Secara umum latihan inti terdiri dari:
a)      Latihan tubuh
Latihan tubuh pada dasarnya mempunyai sifat untuk memperbaiki dan membenarkan kesalahan-kesalahan ringan yang terdapat pada tubuh, yang terdiri dari:
                                                        i.            Latihan pelemasan
                                                      ii.            Latihan peng-huluran
                                                    iii.            Latihan pengukuhan
                                                    iv.            Latihan pelepasan
                                                      v.            Latihan Imbangan
Tujuan Latihan keseimbangan adalah untuk mempertinggi perasaan keseimbangan dan perasaan kerja otot serta mempunyai arti dan fungsi yang besar dalam membentuk sikap gerak.
3.      Latihan Kekuatan / arked
Perlu dibezakan antara latihan pengukuhan dan latihan kekuatan.
                                            i.            Latihan pengukuhan adalah untuk menguatkan otot-otot setempat yang lemah, maka tidak melibatkan kualiti keupayaan tubuh.
                                          ii.            Latihan kekuatan adalah meningkatkan kualiti kemampuan tubuh secara keseluruhan.
                                        iii.            Latihan ketangkasan berkaitan dengan kelincahan dan kelajuan. Cepat dalammengambil tindakan dan selain itu arked menambah keberanian, ketahanan dan penguasaan diri.
4.      Latihan penutup (penenangan)
Tujuan latihan penenangan adalah untuk membawa suhu badan dan kerja organ-organ tubuh kembali dalam keadaan biasa / normal seperti saat sebelum latihan. Sehingga tubuh siap untuk kembali siap melakukan aktiviti lain selepas.

2.4 PERBEZAAN TARIAN KREATIF DAN TRADISIONAL
Tarian kreatif
Elemen asas pergerakan
Pergerakan kreatif merangkumi empat elemen utama iaitu ruang, masa, tubuh badan, dan aliran. Ia melibatkan pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor sama ada dengan atau tanpa muzik.
1.      Ruang
Ruang adalah kawasan yang digunakan semasa melakukan gerakan. Terbahagi kepada dua iaitu ruang diri dan ruang am. Ruang diri ialah ruang setempat yang mengelilingi individu yang boleh dicapai oleh bahagian tubuh badan. Manakala ruang am ialah kawasan yang digunakan semasa melakukan pergerakan. Kedua-dua ruang ini meliputi bahagian kawasan seperti :
a.       aras - tinggi, sederhana dan rendah
b.      arah - hadapan, belakang, sisi, atas dan bawah
c.       aliran - awangan, lantai, lurus dan berliku-liku
d.      ekstensi - mengecil dan membesar

2.      Masa
Pergerakan boleh dilakukan dengan pelbagai kelajuan seperti cepat, lambat, kawal-lambat dan serta merta. Kelajuan sesuatu pergerakan ditentukan dengan keadaan ruang yang ada seperti ruang diri, ruang am dan ruang yang dilengkapi dengan alat-alat.
a.       Serta merta - Pergerakan dilakukan dalam masa yang singkat. Pergerakan ini cepat, tegas, spontan dan dinamik
b.      Kawal-lambat - Pergerakan yang perlahan, Mengambil masa dan dapat dikawal.       Perlakuannya adalah lambat, licin, beralun dan berayun. Ia boleh dirasakan sebagai sesuatu yang tidak pertergesa-gesa atau cepat.
3.      Tubuh Badan
Anggota tubuh badan seperti tangan dan kaki akan menghasilkan kualiti pergerakan seperti kuat, lembut, ringan dan tenang. Kualiti pergerakan dapat dihasilkan dengan mengawal kekuatan dan keupayaan otot semasa melakukan pergerakan.
a.       Halus-ringan - Pergerakan yang lembut, halus dan sensitif menggunakan   kekuatan otot yang ringan semasa bergerak bebas dan setempat.
b.      Berat-kuat - Pergerakan yang tegas, kuat bertenaga dan pantas. Memerlukan tenaga dan menggunakan otot-otot yang kuat.
4.      Aliran
Aspek aliran merupakan beberapa pergerakan dirangkai dengan berturutan, berterusan dan licin. Rangkaian pergerakan boleh dilakukan secara aliran bebas dan terikat. Aliran berhubungkait dengan anggota badan dengan orang lain atau alatan. Contohnya, permainan ulat bulu dan penggunaan alatan seperti gelung rotan.

Jenis-jenis pergerakan kreatif
Pergerakan kreatif terbahagi kepada tiga iaitu pergerakan lokomotor, pergerakan bukan lokomotor, dan kemahiran manipulatif.
1.      Pergerakan Lokomotor
Pergerakan lokomotor ialah pergerakan yang bersifat aliran gerakan dari satu tempat ke tempat yang lain. Pendidikan pergerakan lokomotor adalah untuk menyokong aktiviti pergerakan yang dirancang.
a.       Konsep pergerakan lokomotor
Pergerakan lokomotor terbahagi kepada beberapa cara iaitu seperti arah, aliran, haluan dan masa.
                                                                                i.            Arah
Arah adalah melibatkan bentuk arah gerakan iaitu ke hadapan atau ke kiri atau ke kanan.
                                                                              ii.            Haluan
Haluan ialah pergerkan melibatkan pelbagai bentuk atau corak gerakan. Contohnya adalah seperti samada boleh dalam bentuk lurus, bengkang bengkok, zig zag dan lain-lain.
                                                                            iii.            Masa
Masa adalah masa yang digunakan untuk melengkapkan pergerakan. Masa boleh beradadalam keadaan cepat atau pelahan, secara tiba-tiba atau dalam bentuk  terkawal.
b.      Bentuk-bentuk pergerakan lokomotor
Bentuk-bentuk pergerakan lokomotor adalah seperti berjalan, berlari dan melompat.
                                                                                i.            Lokomotor beritma sekata
·         Berjalan - pergerakan merentasi ruang dengan memindah-mindahkan berat badan dari satu kaki ke kaki yang lain
·         Berlari - kaki tidak menahan berat badan kerana kaki dan seluruh anggota terangkat daripada mencecah bumi
·         Melompat (mendarat dengan dua kaki) - pergerakan yang mengangkat badan ke udara daripada tempat berpijak dengan tolakan / lonjakan sebelah atau kedua-dua belah kaki. Hop (melompat dan mendarat dengan sebelah kaki) Leap (melompat serta larian memanjang dilakukan berterusan dengan kaki (berselang-seli)
·         Meloncat - ketika berlari pergerakan buku lali dan lutut menjadi lebih kerap supaya lebih banyak pergerakan meninggi dapat dicapai.
·         Melompat Ketingting - Melompat menggunakan sebelah kaki sahaja. Selepas itu, kaki yang sama akan mendarat semula. Lutut kaki yang tidak digunakan hendaklah dibengkokkan supaya kakinya tidak mencecah tanah. Kaki didaratkan di atas ibu jari dahulu, kemudian hujung tapak dan tumit di atas tanah.
2.      Pergerakan bukan lokomotor
Pergerakan bukan lokomotor adalah kemahiran yang dilakukan tanpa menggerakkan dasar sokongan atau tidak melibatkan perubahan penyokong atau titik pusat aktiviti. Pergerakan bukan lokomotor adalah merupakan keupayaan menggerakkan bahagian tubuh badan tanpa beralih tempat. Secara kebiasaannya, pergerakan bukan lokomotor ini adalah aspek keseimbangan. Dalam pergerakan ini, kanak-kanak boleh menggunakan pelbagai alatan untuk mempelbagaikan pergerakan.
a.       Konsep pergerakan bukan lokomotor
Konsep pergerakan lokomotor adalah merupakan konsep pergerakan dalam keadaan statik dan memberi penekanan kepada keseimbangan. Pergerakan bukan lokomotor ini dapat membantu kita menjaga dan menjadikan bentuk badan yang menarik dan badan seharusnya berada dalam keadaan yang fleksibel dan seimbang. Aktiviti gerakan mestilah  dibuat dalam keadaan yang tenang dan kurang tekanan.
b.      Bentuk-bentuk pergerakan bukan lokomotor
                                                                                i.            Membongkok
Pergerakan ini membawa bahagian-bahagian badan rapat antara satu sama lain. Kapasiti bahagian badan yang boleh bengkok bergantung kepada struktur sendi terlibat. Sendi engsel membenarkan bahagian badan dibongkok ke hadapan dan ke belakang sahaja. Jenis sendi ini terdapat di Jari-jari tangan, Jari-jari kaki, siku dan lutut. Manakala sendi bola dan soket pula membenarkan bahagian badan dibongkokkan ke hadapan, ke belakang, ke kiri, ke kanan dan dalam bulatan. Sendi Jenis ini terdapat di paha, di pinggul dan di sendi yang menghubungkan bahagian lengan atas dan bahu.
                                                                              ii.            Meregang
Meregang ialah ekstensi atau hiperekstensi bahagian-bahagian badan. Ekstensi didefinisikan sebagali pengembalian bahagian badan ke kedudukan rentang selepas ia difleksibelkan atau dilipatkan. Hiperekstensi pula ialah rentangan melebihi 180'.
  Membongkok dan meregang bahagian-bahagian badan. Bermula dengan bahagian kecil badan seperti jari-jari tangan, jari-jari kaki, tangan dan kaki kepada bahagian besar bahagian badan seperti kaki, lengan, kepala dan belakang. Membongkok dan meregang bahagian badan dengan menggunakan bahagian badan yang berlainan untuk dijadikan dasar menyokong.
                                                                            iii.            Mengilas
Mengilas ialah pusingan badan atau bahagian badan mengeliling paksi panjang tanpa menggerakkan dasar menyokong. Mengilas hanya boleh berlaku dalarn arah bulatan sahaja. Struktur sendi menentukan bahagianbadan yang boleh dikilas. Sebagai contoh, badan boleh dikilas pada paksipanjang.
                                                                            iv.            Memusing
Memusing ialah pergerakan memusingkan bahagian badan. Apabila seluruh badan berpusing, dasar menyokong berubah tempat. Mengilas bahagian-bahagian badan yang berlainan seperti kaki, lengan, badan, dan leher. Membentuk dengan mengilas dan menggunakan bahagian badan berlainan sebagal dasar menyokong.
                                                                              v.            Menolak
Menolak ialah menurunkan kuasa badan ke atas kuasa rintangan. Menolak menjauhkan objek dari badan atau menjauhkan badan dari objek. Pergerakan ini dilakukan dengan menggunakan tangan dan lengan, tapak dan kaki, bahu, dan pinggul.
                                                                            vi.            Menarik
Menarik adalah untuk menggerakkan atau merapatkan objek kepada badan. Biasanya pergerakan ini dilakukan dengan menggunakan tangan.
Menolak dalam ruang dengan menggunakan bahagian badan yang berlainan. Tolak satu tangan ke atas , ke bawah , ke sisi. Menolak objek seperti pundi kacang dan bola . Guna bahagian badan yang berlainan seperti tangan, siku , dan kaki.
                                                                          vii.            Hayun
Hayun ialah satu pergerakan bulat atau separuh bulatan mengelilingi satu titik tengah yang tetap
                                                                        viii.            Berbuai-buai
Pergerakan ke kiri dan kanan tubuh badan yang dikawal oleh badan
Hayun tangan ke hadapan , ke belakang , atau menyilang badan di dada. Hayun kaki ke hadapan , belakang atau ke sisi menyilang kaki lain. Hayun dengan bergayut pada palang. Berbuai dengan berdiri tegak dan menggerakkan badan ke sisi , ke kiri dan ke kanan. Dua tangan di hadapan , bengkok di siku , berbuai-buai dengan menggerakkan badan ke kiri dan ke kanan .
                                                                            ix.            Rebah
Badan atau bahagian badan bergerak dari paras tinggi ke paras sendah .Rebah mungkin merupakan satu pergerakan yang cepat atau perlahan untuk merendahkan badan . Rebah yag tiba-tiba berlaku jika tenaga menyokong badan dilepaskan dengan cepat dan secara keseluruhan. Rebah mungkin berbentuk keseluruhan atau separa sahaja. Rebah separa berlaku jika imbangan didapati semula tanpa perubahan dasar menyokong. Sebaliknya rebah keseluruhan terjadi apabila pergerakan ke bawah berlaku secara berterusan sehingga dasar menyokong baru didapati.
                                                                              x.            Bangun
Aktiviti bangun, badan seharusnya mempunyal imbangan, mempunyal dasar menyokong yang stabil dan tenaga otot yang cukup untuk mengatasi tarikan pusat bumi.
Rebah-duduk berlunjur, condongkan badan ke belakang sehingga bahagian atas badan tidak seimbang lalu jatuh. Berdiri dan dengan perlahan merebahkan badan di atas tilam. Rebah ke hadapan di atas tilam dan berguling. Rebah dan bangkit berulang-ulang kali.
Tarian tradisional
Tarian tradisional merupakan sejenis seni gerak yang mengandungi gerakan tubuh badan yang mempunyai unsur – unsur keindahan . Tarian dapat dipersembahkan melalui gerakan tangan , kaki , badan , mata dan anggota badan yang lain. Menurut kepada seorang ahli sejarah tarian dan muzik Jerman bernama C. Sachs telah memberikan definisi seni tari sebagai gerakan yang berirama. Seni tari adalah pengucapan jiwa manusia melalui gerak – geri berirama yang indah.

Tarian tradisional melayu

Tarian tradisional Melayu boleh terbahagi kepada empat kategori iaitu tarian istana, dramatari, tarian moden dan tarian rakyat. Contoh tarian istana terdapat tarian asyik dan tarian gamelan.Tarian asyik merupakan tarian istana diraja Kelantan. Ia bermula di Pattani pada 1644 berikutan kehilangan burung kesayangan permaisuri. Dayang-dayang baginda mencipta tarian ini untuk menghiburkan hatinya yang sedang berdukacita. Asyik bermaksud kekasih yang juga merupakan nama burung tersebut. Oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak – geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Pada hari ini, tarian ini dipersembahkan semasa upacara rasmi dan festival. Ia juga turut dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan di istana Melayu. Tiga alat muzik penting yang digunakan ialah rebab , gambang dan gedombak.
Manakala tarian seperti tarian mak yong, tarian jikey, tarian randai dan sebagainya merupakan dalam kategori tarian dramatari yang dikenali sebagai satu cabang seni teater yang menggabungkan tarian, opera, drama dan komedi. Tari yang paling penting yang dipersembahkan dalam Mak Yong ialah Mengadap Rebab yang mengambil masa dalam 10-15 minit dan dipersembahkan di setiap permulaan persembahan. Ia dibahagikan kepada 6 seksyen iaitu menama, duduk, melutut, mencangkung, berdiri dan berjalan. Semua watak dalam Mak Yong adalah perempuan kecuali 3 lelaki penari utama yang dipanggil Mak Yong, yang membuatkan cerita yang selalunya berkisar tentang putera dan puteri lagenda dari cerita dongeng orang dulu-dulu. Ada 16 pelakon dan diiringi oleh muzik tradisional yang terdiri daripada gong, dram dan rebab.
Di samping itu,dalam kategori tarian moden juga terdapat tarian yang popular seperti tarian joget,tarian zapin dan tarian inang. Antaranya jogat adalah yang paling dikenali oleh rakyat kita. Ia sering dipersembahkan di festival kesenian, upacara perkahwinan dan majlis-majlis keramaian. Tarian joget merupakan tarian kacukan Portugis yang dibawa ke Melaka semasa zaman perdagangan rempah. Joget dipersembahkan oleh beberapa pasangan penari dengan pergerakkan kaki dan tangan yang lincah. Ini berikutan tempo lagu joget yang selalunya laju. Di Melaka, joget dikenali sebagai Chakunchak.
Tarian rakyat terdapat contoh seperti tarian ayam didik,tarian canggung,tarian cinta saying,tarian kuda kepang dan tarian zapin.Tarian ayam didik merupakan berasal daripada gerakan berlaga ayam, iaitu sejenis sukan yang diminati oleh orang Melayu pada masa lampau. Tarian ini dicipta oleh ahli tarian di negeri Perlis dan masyhur di kalangan masyarakat terutama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan bahagian utara Perak. Tarian ini diringi dengan nyanyian lagu ayam didik.

Tarian tradisional cina
   
Secara umumnya,tarian tradisional cina dalam adat warisan masyarakat Cina terdapat 2 jenis iaitu tarian singa dan tarian naga. Penari tarian singa akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.
Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.
Manakala Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya.
Seperti tarian singa,tarian naga juga selalu dipersembahkan pada musim perayaan.Dalam permikiran kaum cina, naga mewakili kekuatan yang tiada bandingan yang boleh menghilangkan nasib buruk dan mencegah jenayah. Oleh itu,orang cina selalu menyebutkan “keturunan naga” sebagai lambang identiti etnik. Pada Tahun Baru Cina, atau memimpin prosesi untuk menyambut seorang dewa, bahkan ketika ada bencana alam atau bencana peribadi berlaku, mereka akan mengadakan tarian naga untuk berdoa supaya mendapat berkat dari syurga.
Menurut falsafah lima elemen (logam, kayu, air, api dan tanah) popular selama Dinasti Han, banyak objek yang berpadanan dengan ekspresi daripada lima elemen. Untuk alasan ini, dansa naga datang dalam lima warna: hijau, merah, kuning, putih dan hitam. Yang membezakan naga dengan lima warna ialah tradisi rakyat pada tahun-tahun awal dinasti Han. Bagaimanapun, pada hari ini kita hanya dapat melihat naga emas dan naga hijau.

Tarian tradisional india
          
Gaya tarian tradisional india boleh dibahagikan kepada gaya klasik dan gaya tradisional. Daripada tujuh gaya klasiknya yang paling dikenali adalah Bharata Natyam, Odissi, Mohiniattam, Khatak, Kathakali, Kuchupuddi dan Manipuri. Tarian Kathak adalah tarian yang terbagi secara naratif dan dicirikan dengan gerakan kaki yang cepat (tatkar) dan berputar (chakkar) serta berasal dari utara india. Pada hari ini, bentuk tari khatak adalah bentuk yang berasal dari banyak pengaruh pada masa lalu, seperti pengaruh mitologi kathakas (nyanyian kuno), tarian kuil, gerakan bhakti (Vaishnavisme dan Shaivite), serta pengaruh Persia pada masa kekuasaan Mughal sejak abad ke-16.
Selain tarian kathak,tarian bharata natyam juga bergaya klasik.Yang berbeza adalah tarian ini dikenali sebagai tarian kebangsaan india dan berasal daripada wilayah Tamil Naidu di bahagian Selatan India. Secara tradisionalnya, tarian ini di persembahkan secara solo oleh seorang penari wanita dengan dua aspek, pertama ialah lasya iaitu wanita yang lemah lembut, dan kedua ialah tandava iaitu aspek maskulin, yang sama konsep dengan Yin dan Yang di budaya Cina. Tarian ini merangkumi enam peringkat dikenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan Nritya ( Tarian Ekspressi ).
Dari teks zaman dahulu, kita dapat melihat bahawa pakaian asli tidak menutupi sebahagian besar badan penari Bharata Natyam. Pada zaman pertengahan, amalan dan kepercayaan tok-tok alim menyebabkan devadasis memakai pakaian sari yang khusus dan berat yang sangat membatasi gerakan penari. Ada beberapa jenis pakaian Bharata Natyam, ada yang tidak membatasi gerakan penari, manakala yang lain sebaliknya. Pakaian zaman sekarang sangat simbolik, kerana tujuannya adalah untuk mengeluarkan aura penari pada zaman kebendaan ini. Muzik iringan untuk Bharata Natyam ialah muzik Carnatic gaya India Selatan. Biasanya kumpulan pemain muzik Carnatic menggunakan instrumen iaitu mridangam (drum), nagaswaram (paip panjang berbentuk tanduk yang dibuat daripada kayu hitam), suling, biola dan veena (alat muzik dengan tali yang dimainkan dengan menyentuh tali-tali dengan penggesek yang berkait dengan Saraswati, dewi Hindu.Bahasa Tamil, Telugu, Kannada dan Sanskrit biasanya digunakan dalam Bharata Natyam.

Tarian Tradisional Sabah

Di samping itu,tarian tradisional sabah terdapat seperti tarian sumazao, tarian limbai, tarian sumayao, tarian adai-adai dan sebagainya. Antaranya tarian sumaza merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Fungsi tarian sumazao adalah untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.Pada zaman ini, tarian ini biasaanya dipersembahkan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan. Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang.
Malah,tarian limbai adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau.Ianya ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Tarian ini merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.
Tarian Magunatip yang kita kenali merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau).Perkataan magunatip adalah berasal daripada perkataan ‘apit' di yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.Tarian Magunatip bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara yand diadakan.

Tarian Tradisional Sarawak

Datun Julud atau Julang Dance adalah tarian tradisional dari Sarawak. Tarian ini berasal daripada suku Kenyah dari Kabupaten, balungan, Kutai Berau dan Pasir. Tarian tradisional ini dipersembahkan untuk menyambut askar yang kembali dari peperangan. Selain itu, ia juga merupakan tanda akhirnya musim menuai padi. Tarian ini dipercayai dicipta oleh seorang putera yang bernama Nyik Kenyah Selung untuk merayakan kebahagiaan dan rasa syukur. Biasanya Tarian ini dipersembahkan oleh penari wanita. Para penari akan berpakaian seperti burung enggang dan memegang bulu bulu burung enggang, di mana dia akan bergerak naik dan turun dengan anggun untuk menggambarkan burung enggang yang sedang terbang. Tarian ini biasanya dipersembahkan oleh empat orang penari, selepas penari pertama habiskan tariannya, penari kedua akan meneruskan tarian,pergerakan ini dilakukan berturut-turut sehingga penari keempat.
Manakala Tarian Ngajat bagi orang Iban adalah tarian semasa menyambut perayaan Gawai, sebelum pergi berperang dan selepas musim menuai. Pada zaman dahulu ianya ditarikan selepas mereka kembali dari berperang. Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras diperbuat dari kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya. Tarian ini tarikan dengan berdiri di atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan adalah bersesuaian dengan. Bagi Gawai Sandau Ari, gendang Rayah dimainkan untuk tetamu kehormat dan orang yang menyambut gawai untuk ber'Rayah' sambil membawa tengkorak musuh. Satu jenis tarian ini lagi ialah penari akan memegang perisai kayu di tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan musuh dengan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan. Lagu iringan dibunyikan dari alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh, iaitu alat bertali seperti gitar.

2.5 PERANAN BUSANA SETIAP NEGERI

Kedah
                
Kedah juga dikenali dengan nama "Kadaram" dan "Kataha". Pengasas kerajaan Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa yang juga memerintah Patani, Perak dan Siam. Pengaruh Siam dapat dilihat pada busana tradisional masyarakat Kedah. Antaranya ialah Baju Kurung Kedah yang hampir menyerupai blaus pendek Siam, agak singkat dari baju kurung biasa, namun manis dipadan dengan kain sarung lipat. Baju Kurung Cekak Musang beserta samping atau digaya bersama Baju Sikap digemari oleh golongan lelaki. Baju Sikap Kedah ini dipakai seawal tahun 1786, mempunyai butang ke paras pinggang dengan seluar potongan Cina dan samping.

Sarawak
Keindahan pakaian kaum etnik dari Sarawak terserlah dengan ragamhias yang mempamerkan kemahiran tangan yang menghasilkannya. Ragamhias pasa pakaian membentuk motif-motif etnik samada dari tenunan, jalinan manik dan labuci. Perhiasan diri dari perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya.
Baju Melayu Cekak Musang merupakan pakaian tradisional bagi lelaki Melayu. baju ini dipadankan dengan samping songket tenunan Sarawak. Wanita Melayu pula memakai Baju Kurung dan kain sarung songket serta tudung kerengkam. Lelaki Melanau pula memakai baju satin hitam yang digandingkan dengan samping broked dan hiasan kepala kopiah Jawa. Wanitanya memakai Bajau Baban lengan lebar berwarna hitam dan kain songket Sarawak serta hiasan diri dari emas dan perak juga.
                                i.            Pakaian Lelaki Iban
Lelaki memakai Baju Burung dan sirat serta tali pinggang lampit dan manik-manik. Kepala memakai setapok tunjang dan bulu kenyalang.
                              ii.            Pakaian Perempuan Iban
Wanita memakai bidang berhias syiling dan loceng serta selampai dan marek empang. Perhiasan diri dari perak seperti ringgit gobeng, gelang kelunchong dan sugu tinggi.
                            iii.            Pakaian Perempuan orang Ulu
Banyak menggunakan manik dan labuci sebagai penyeri pakaian. Pakaian ini dibuat dari baldu berhias labuci motif aso dan naga. Subang telinga iseng dari tembaga bagi melanjutkan telinga yang menjadi kebanggaan bagi wanitanya.
                            iv.            Pakaian lelaki Bidayuh
Baju dan seluar dari satin dihiasi pita merah dan putih. Bahagian luar memakai jipo Boyuh dari kulit kayu dan kalung gigi beruang.
                              v.            Pakaian lelaki Melanau
Dari satin berwarna gelap dipadankan dengan kain songket bunga tabur dan pakaian kepala sengkulon dari Jawa.
                            vi.            Pakaian Perempuan Melanau
Pakaian pengantin zaman silam Serebaeng atau Bajo Baban ini digayakan wanita Melanau berketurunan Sembilan Pikul. Bajunya dari kain satin atau baldu dan selendang yang dihiasi kepingan perak dan emas. Kain sarung songket jong sarat dan memakai tali pinggang serta pending.

Sabah
                
Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum. Di antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.
Penggunaan pakaian-pakaian tradisional mereka boleh dilihat dari dua sudut zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Di zaman klasik, pakaian-pakaian tradisional ini dipakai semasa uparaca-upacara ritual, hari perkahwinan dan sebagai pakaian seharian. Di zaman moden pula pakaian-pakaian tradisional ini hanya dipakai untuk tujuan-tujuan yang tertentu seperti di hari perkahwinan oleh pengantin lelaki dan perempuan serta untuk acara-acara kebudayaan.
Kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian traditional mereka.Oleh itu,penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Sesetengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semulajadi di waktu itu.
Pada masa lalu, batu akik merah, manik-manik kaca berwarna, kulit kowri, butang putih atau cakera yang dibuat daripada cengkerang dan tembaga digunakan untuk menghiasi pakaian lelaki dan perempuan. Pada hari ini, kebanyakan hiasan-hiasan ini diganti dengan manik-manik plastik dan bahan moden yang lain seperti benang emas dan perak, labuci dan benang berwarna. Seperti dahulu, hiasan-hiasan ini masih lagi disertai dengan tali pinggang yang dibuat daripada berbagai-bagai bahan seperti manik cengkerang dan kaca duit syiling perak, tembaga dan logam-logam lain, lapik pinggang yang dibuat daripada rotan berwarna untuk mengetatkan gaun, seluar atau anak baju. Kalung dibuat daripada berbagai-bagai bahan dijadikan hiasan leher dan dada. Gelang juga dipakai untuk menghiasi lengan, pergelangan tangan serta kaki.
Tutup kepala seperti terendak atau tudung dipakai oleh kaum lelaki dan wanita sebagai pakaian biasa sebagai pelindung dan penahan peluh. Pada majlis-majlis upacara, terendak-terendak yang dipakai adalah lebih indah dan berwarna-warni. Spesialis ritual memakai tutup kepala dan pakaian dengan hiasan yang banyak yang membezakan mereka dari orang biasa apabila mereka menjalankan sesuatu upacara tradisional. Kaum lelaki masih memakai sigah sejak dari dahulu lagi. Sigah atau tanjak ini adalah sekeping kain segi empat yang dipakai dalam berbagai-bagai bentuk mengikut daerah atau asal si pemakai. Kaum wanita pula memakai manik, sisir, tudung dan terendak bergantung pada waktu dan kegiatan yang dilakukan.

Johor
                 
Baju kurung Johor untuk perempuan menjadi sinonim dengan baju kurung tradisional yang standard. Ia mengenakan kain yang disusun di sebelah kiri. Rata-rata wanita Melayu di Malaysia mengenakan baju kurung Johor, ini termasuk pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pulau Pinang
                          
Baju tradisional wanita Pulau Pinang pula adalah kebaya pendek yang dipadankan dengan kain batik atau songket selisih. Lelakinya pula mempunyai pengaruh pakaian golongan ‘Mamak’ yang banyak terdapat di Pulau Pinang, namun pakaian baju melayu dan samping yang dikenakan terdapat asimilasi budaya Melayu dan Mamak.

Perak
                        
Pakaian tradisonal Melayu Perak selain berbaju melayu teluk belanga, ia dipadankan dengan tengkolok potongan rendah. Wanitanya pula mengenakan pakaian baju kurung cekak musang dengan tali pinggang bengkung untuk mengikat samping. Manakala kain ditukar kepada seluar yang mirip pakaian tradisional masyarakat Aceh, Sumatera.

Selangor
                      
Pakaian tradisional Melayu bagi negeri Selangor pula mempunyai pengaruh Bugis di mana lelakinya akan mengenakan jaket di luar selain baju melayu yang dipakai di bahagian dalam lengkap bersamping. Manakala wanitanya akan mengenakan baju potongan Bugis dengan bertali pinggang yang dipadankan dengan kain selisih.

Negeri Sembilan
                         
Negeri Sembilan yang mendapat jolokan sebagai negeri Minang kerana perkaitan sejarahnya dengan Minangkabau di Sumatera, menerima pengaruh Minang bagi pakaian tradisionalnya. Biasanya wanita yang memakai pakaian tradisional Minang akan mengenakan tengkolok tanduk kerbau sebagai simbol budaya masyarakat Minang. Manakala pakaian tradisional lelaki mempunyai butang yang juga pengaruh daripada Minangkabau.

Melaka
              
Pakaian tradisional wanita Melayu Melaka pula selesa mengenakan baju kurung dengan mempunyai hiasan dada bercorak di bahagian bahu, manakala lelakinya mengenakan jaket di bahagian luar selain baju melayu.
            
Di Melaka juga mempunyai masyarakat Portugis akibat tinggalan penjajah Portugis di Melaka pada kurun ke-16. Pakaian tradisional wanitanya adalah gaun yang berlengan besar dan lelakinya mengenakan baju sut sama seperti di Barat.

Kelantan
        
Kelantan yang mendapat jolokan sebagai Negeri Cik Siti Wan Kembang mendapat pengaruh Siam terhadap pakaian tradisionalnya. Pakaian wanitanya mirip kepada pakaian wanita Siam dalam persembahan Makyong di mana mereka akan mengenakan mahkota dan tali pinggang besar (pending) di samping selendang yang besar. Pakaian lelakinya pula akan mengenakan jaket di luar.
             
Di Kelantan juga mempunyai ramai masyarakat Siam terutama sekali di daerah Tumpat. Masyarakat Siam ini yang berasal dari Thailand dan kebanyakannya beragama Buddha namun berasimilasi dengan budaya Melayu seperti dalam aspek makanan dan kehidupan seharian. Pakaian tradisional mereka mirip kepada masyarakat di Thailand.

Terengganu
       
Pakaian tradisional orang Melayu Terengganu yang biasa dikenakan oleh masyarakat sekarang dengan baju kurung teluk belanga dan lelakinya baju melayu teluk belanga.

            Pahang
                                     
            Bagi negeri Pahang pula, potongan baju kurung wanitanya berpesak dengan potongan kembang di bawah tanpa berkekek, dan dipadankan dengan kain selisih. Namun ada juga yang memadankannya dengan kain susun di tepi. Ia juga dikenali sebagai Baju Riau Pahang kerana pengaruh kerajaan Melayu Riau yang pernah datang ke situ. Lelakinya mengenakan baju melayu cekak musang.

            Perlis
                         
            Bagi negeri Perlis pula, pakaian wanitanya terkenal dengan kebayanya, dan lelaki pula mengenakan baju melayu yang berjaket di luar.

2.6 SEJARAH MEK MULUNG

Pengenalan
Mek Mulung merupakan suatu adunan kesenian yang telah digabung dalam satu persembahan. Ia terdiri dari unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik. Meskipun seimbas lalu persembahan kelihatan begitu mudah, tetapi ia tetap mempunyai keunikan yang tinggi nilainya.

Asal-Usul
Kononnya pada zaman dahulu ada sebuah keluarga miskin yang menjadikan bidang hiburan sebagai sumber hidup. Si ayah yang bernama Pak Mohor telah membuat sejenis alat muzik bernama "Geduk" dan memalunya dengan gaya Menora. Si ibu pula membuat gendang dan memalunya dengan menurut cara Mak Yong. Sementara anak mereka yang bernama Mek Julung membuat sejenis alat muzik diberi nama "Semborong" dan memalunya sekeliling kampung.
Pada suatu hari dalam keghairahan memalu semborongnya, Mek Julung sampai ke tengah-tengah hutan. Beliau bertemu dengan seorang anak raja bernama "Cahaya Bulan" yang telah dibuang negeri lantaran hasutan seorang ahli nujum yang meramalkan bahawa "Cahaya Bulan" akan menimbulkan malapetaka di negeri. "Cahaya Bulan" tertarik hati dengan permainan Mek Julung, lalu baginda dan pengikut-pengikutnya turut bermain bersama dengan menambahkan lagi alat muzik yang sedia ada. Akhirnya kumpulan ini dinamakan "Mek Mulung".
Dikatakan permainan Mek Mulung berasal daripada Legor, Siam kemudian diperkenalkan di Kedah ketika berlaku persengketaan Kedah-Siam. Tempat mula-mula ia diperkenalkan ialah di kampung Perik, Mukim Kurung Hitam, Daerah Padang Terap. Seterusnya permainan ini berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah.

Persembahan
Persembahan Mek Mulung dimulai dengan upacara "bertabuh" di mana semua alat-alat muzik dimainkan dengan serentak. Selepas sepuluh minit, barulah lagu pembukaan yang lebih dikenali dengan lagu "bertabik" dimainkan.
Lagu bertabik dimulakan oleh seorang ketua kumpulan dan disambut oleh ahli-ahli kumpulan. Lagu ini dikatakan sebagai memberi penghormatan kepada segala keramat, jin, guru-guru yang telah lalu dan para dewa. Sementara itu tiga orang puteri akan menyanyi sambil menari. Tarian yang ditarikan, wujud dalam pelbagai bentuk ; ianya dibezakan oleh gerak jari dan tangan bagi satu-satu bentuk. Biasanya lima hingga tujuh jenis tarian akan dipersembahkan. Tarian-tarian tersebut ialah:
1.      Tarian Sembah
2.      Tarian Gambang
3.      Tarian Puteri Mabuk
4.      Tarian Menora
5.      Tarian Sirama
6.      Tarian Puteri Masuk Bilik Air
7.      Tarian Sedayung
Setelah selesai Tarian ini maka selesailah lagu bertabik, dengan ini tamatlah satu senoh (1) dalam satu persembahan Mek Mulung. Setelah tamat satu senoh, pencerita akan memulakan hikayatnya. Peranan peristiwa ini dilakukan oleh Pak Mulung. Pencerita dalam persembahan Mek Mulung samalah sepertimana Tok Dalang dalam persembahan Wayang Kulit. Cuma bezanya Tok Dalang menggerakkan patung-patung wayang kulit sebagai pelakon manakala dalam teater Mek Mulung, pencerita turut sama berlakon dengan ahli-ahli yang lain. Semua pertukaran adegan atau perpindahan suasana di dalam cerita akan dilakukan dengan cara nyanyian beramai-ramai. Nyanyian ini disertai dengan pantun-pantun yang menarik. Permainan biasanya berlangsung selama 3 malam atau lebih.
Persediaan
Sebelum sesuatu persembahan dijalankan, diadakan dulu upacara buka panggung. Upacara ini bertujuan agar para pemain dan keseluruhan persembahan berjalan dengan selamat tanpa sebarang gangguan.
Bahan-bahan yang digunakan dalam upacara ini ialah sirih pinang, kemenyan dan minyak kelapa. Sirih dijampi dan diserahkan kepada para pemain untuk dimakan, terutamanya para puteri. Kemenyan digunakan untuk meperasapi segala jenis alat muzik sementara minyak kelapa pula disapu pada gendang. Setelah diperasap, alat-alat muzik ini tidak boleh dilangkah.
Upacara buka panggung ini dilakukan pada tiap-tiap kali mengadakan persembahan. Biasanya upacara buka gelanggang dilakukan ditempat persembahan tetapi ianya juga boleh dilakukan dirumah sebelum permainan dimulakan.
Nyayian
Selain daripada lakonan dan tarian, nyanyian juga nadi kepada persembahan Mek Mulung. Di antara lagu-lagu yang biasanya didendangkan ialah :
a.       Timang Welo
b.      Lagu Berjalan
c.       Anak Udang
d.      Raja Beradu
Ada kalanya terdapat juga beberapa buah lagu popular rakyat seperti "Canggung" dan "Dondang Sayang" yang didendangkan dimana ia merupakan suatu unsur baru yang dibawa masuk sebagai salah satu langkah untuk menarik perhatian penonton.
Pakaian
Para pelakon dan penari dalam persembahan Mek Mulung memakai pakaian tertentu. Raja atau Pak Mulung memakai sepasang baju Melayu, bersamping songket, sehelai tengkolok, sibai yang merupakan selampai penutup bahu dan dada, ikat bengkung serta sisipan sebilah keris di bahagian pinggang.
Para Peran memakai pakaian biasa; sama ada sehelai kain pelekat dan ikat pinggang dengan baju "singlet" ataupun berseluar dan berbaju biasa. Walau bagaimanapun mereka mesti mempunyai sehelai kain bebat pengikat pinggang dan memakai topeng. Topeng-topeng inilah yang membezakan watak dan peranan masing-masing.
Tok Wak pula biasanya memakai kain biasa disamping memakai topeng berwarna hitam. Sementara itu watak Inang memakai kain bersama sehelai penutup kepala. Para penari pula memakai baju kebaya labuh persis pakaian seorang wanita.

Bentuk Cerita
Kebanyakkan cerita yang terdapat dalam persembahan Mek Mulung adalah cerita-cerita yang mereka anggap benar dan pernah terjadi pada zaman dahulu. Unsur jenaka mendapat tempat dalam lakonan.
Mek Mulung dan biasanya dibawa oleh watak peran. Para pelakon mengambil peristiwa seharian sebagai bahan jenaka. Walau bagaimanapun, keaslian jalan cerita tetap tidak dipesongkan. Di antara cerita-cerita yang selalu dimainkan ialah :
a.       Lakon Afrit
b.      Batak Putih
c.       Cahaya Bulan
d.      Malim Bongsu
e.       Dewa Muda
Tarian
Tarian merupakan suatu aspek penting dalam persembahan Mek Mulung, sepertimana juga dengan teater-teater tradisi yang lain. Tarian merupakan unsur penting dalam cerita-cerita dan persembahan Mek Mulung. Penari-penari juga digunakan sebagai "korus" terutama apabila berlakunya adegan dalam cerita.
Tarian dimulakan sebaik sahaja selesainya lagu bertabik. Setiap gerak tari diiringi oleh irama muzik. Penari memulakan tarian ketika duduk dilantai dengan cara membuka sembah. Kemudian berdiri dan terus melangkah membentuk sebuah bulatan. Tarian diakhiri dengan susunan sembah ketika duduk.
Pelakon-Pelakon
Raja atau Pak Mulung merupakan watak utama dalam persembahan Mek Mulung. Ia dibantu oleh tiga Orang Peran iaitu Peran tua, Peran Muda, Peran Kiau, seorang ahli nujum yang dipanggil Tok Wak, seorang Inang dan beberapa orang penari. Jumlah Peran adakalanya lebih dari tiga orang. Keadaan ini benyak bergantung kepada ahli-ahli kumpulan yang hendak bermain pada satu-satu masa. Meskipun demikian, watak-watak peran tambahan hanya dikenali sebagai "peran" sahaja tanpa apa-apa gelaran khusus. Kesemua pelakon adalah terdiri daripada lelaki.
Para pelakon Mek Mulung tidak mendapat latihan berlakon secara khusus, mereka rata-rata memiliki kebolehan semulajadi disamping sedikit latihan. Latihan biasanya dijalankan pada waktu malam. Selepas waktu isyak ahli-ahli kumpulan akan berkumpul di rumah ketua kampung untuk mengadakan sebarang latihan apabila hendak megadakan sesuatu persembahan.
Kebanyakan anggota kumpulan Mek Mulung ini terdiri daripada kaum keluarga dan saudara-mara. Justeru itu, mereka melantik orang yang tertua di kalangan mereka untuk menjadi ketua. Tua dalam erti kata usia, kedudukan dalam keluarga dan pengalaman dalam persembahan Mek Mulung.
Mek Mulung tidak menggunakan sebarang skrip. Cerita atau hikayat disimpan di dalam ingatan untuk dijadikan panduan dan juga pedoman semasa membawakan sesuatu lakonan. Tidak ada seorang pengarah khas yang dilantik di dalam menjayakan persembahan Mek Mulung, namun masing-masing ahli sudah memahami dan mengetahui akan tanggungjawab dan peranan masing-masing.
Bahasa pengucapan dalam persembahan Mek Mulung adalah bahasa Melayu harian loghat Kedah serta di selang-seli dengan loghat Melayu Patani. Dialog dituturkan secara spontan dan biasanya watak peran akan membangkitkan pekara-pekara yang berlaku pada setiap hari sebagai bahan untuk mencuit hati penonton.
Peralatan Muzik
Alat-alat muzik yang digunakan dalam persembahan Mek Mulung terdiri daripada :
a.       Semborong = 1
b.      Ibu Semborong = 2
c.       Anak Semborong = 1
d.      Gong = 1
e.       Serunai = 1
f.       Cerek = 2 hingga 3
Pada masa dahulu terdapat juga "canang" dan "kesi" dalam senarai alat-alat muzik Mek Mulung.
'Set' dan 'Prop'
Persembahan Mek Mulung tidak menggunakan apa-apa "set". Segala "setting" hanya dibina oleh para pelakon menurut imaginasi masing-masing. Sementara "Prop" yang digunakan adalah topeng untuk watak peran,golok (diperbuat daripada kayu),seikat rotan yang digelar "Rotan Ke Tujuh", dan sebatang kayu yang disebut "Tongkat Wak"
Sembah Guru
Selain daripada upacara buka panggung pada setiap kali sebelum persembahan, satu lagi upacara yang penting di dalam teater Mek Mulung ialah Upacara Sembah Guru. Acara ini lebih besar daripada acara buka panggung dan diadakan sekali dalam setahun.
Upacara Sembah Guru yang berlangsung selama 3 malam ini adalah upacara tahunan yang mesti diadakan. Kalau tidak, besar kemungkinan para ahli kumpulan Mek Mulung akan ditimpa bencana terutamanya ketua kumpulan.
Upacara sembah guru bermula dengan majlis kenduri. Seekor kambing akan disembelih untuk tujuan ini. Kemudian barulah persembahan Mek Mulung diadakan. Kebiasaannya pada malam pertama, lakonan hanya akan diadakan sedikit sahaja. Lakonan ini disambung pada malam berikutnya dan ditamatkan pada malam ketiga. Pada malam terakhir inilah ramuan untuk persembahan kuasa ghaib disajikan dan terdapat pula ahli kumpulan yang "melupa". Ketika ini orang-orang sakit akan diusung masuk kedalam bangsal untuk berubat.

2.7 SEJARAH BORIA

Asal usul perkataan boria
Ramai yang sering tertanya-tanya daripada mana timbulnya perkataan boria itu sendiri.  Sesetengah sarjana berpendapat bahawa perkataan boria diambil dari perkataan Hindustan yang membawa maksud 'tikar'.  Perkataan ini timbul kerana kumpulan boria ketika itu menggunakan pakaian yang diperbuat daripada tikar untuk menggambarkan kesengsaraan Saidina Hussein r.a di Karbala.  Selain itu, ada juga yang berpendapat perkataan boria berasal dari perkataan 'borai'. 
Borai dikatakan berasal dari bahasa Hindustan yang membawa maksud gila atau sasau.  Ini disebabkan oleh kelakuan pemain serta pakaian mereka semasa persembahan seperti orang gila.  Satu lagi pendapat yang mengatakan bahawa boria berasal dari perkataan Bori.  Bori adalah satu kaum yang berasal dari Gujerat, India.  Mereka berpindah serta menetap di Pulau Pinang dan kaum inilah yang dikatakan memulakan permainan boria di Pulau Pinang.  Pendapat lain ada mengatakan bahawa nama boria lahir hasil dari gabungan bori dan ria, maka terjadilah boria.
Latar belakang boria
Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein r.a oleh Muawiyah bin Abi Suffian.  Kematian Saidina Hussein r.a yang penuh tragik itu diperingati oleh kaum Syiah dengan mengadakan upacara perkabungan tahunan khusus pada 10hb Muharam di perkuburannya.  Upacara ini dikenali sebagai takziya.  Dalam upacara ini lakonan dibuat untuk memperingati peristiwa yang menyayat hati itu.  Seseorang penyair akan mendendangkan syair-syair mengisahkan Saidina Hussein r.a dikepung musuh.  Bekalan air dan makanan disekat unuk melemahkan Saidina HUssein r.a.  Apabila dendangan syair sampai ke episod pembunuhan Saidina Hussein r.a, pengikut-pengikut Syiah ini akan meratap sambil menjerit dan memukul-mukul badan dengan sekuat hati sehingga berdarah.  Kaum syiah menganggap perbuatan ini sebagai satu jalan untuk menebus dosa mereka kerana membiarkan Saidina Hussein r.a menemui ajalnya di tangan tentera-tentera Muawiyah bin Ali Suffian. 
Untuk acara akhir pula, mereka mengadakan satu perarakan yang membawa lambang tangan berwarna merah serta bendera-bendera di sekitar kawasan perkuburan Saidina Hussein r.a. Acara tahunan ini mengalami perubahan sedikit demi sedikit dari semasa ke semasa.  Syair-syair yang didendangkan tidak lagi berlegar di sekitar pembunuhan Saidina Hussein r.a malah telah diselang selikan dengan peristiwa-peristiwa yang terdapat dalam kitab Taurat, Injil serta cerita rakyat dari timur.  Para pengikut mulai berlakon agar dendangan syair menjadi lebih realistik.  Mereka akan melakonkan babak-babak tertentu sejajar dengan syair yang didendangkan dalam persebahan. Apabila gerakan Syiah bertukar menjadi pertubuhan yang berbau politik, teater ini dijadikan tempat mereka mencari pengaruh.  Sambuan hebat didapati di merata tempat setiap kali diadakan persembahan. 
Kebiasaanya golongan kaya akan membiayai persembahan serta mengedarkan minuman secara percuma untuk menarik perhatian orang ramai untuk datang menonton.  Oleh itu, dikatakan teater ini berkembang selari dengan dengan perkembangan fahaman Syiah.  Di mana-mana sahaja terdapatnya kaum Syiah teater ini pasti wujud.  Maka berkembanglah teater ini ke Parsi, India dan seterusnya menjalar masuk ke Semenanjung Malaysia. 
Cara Persembahan Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Rahmah Bujang (1987), persembahan boria lazimnya terdiri daripada dua persembahan cerita yang berasingan. Tema atau cerita persembahan pertama dihubungkaitkan dengan tujuan persembahan itu, maka tema persembahan kedua adalah lebih umum lagi. Sesebuah persembahan dibahagikan kepada dua segmen iaitu:
 • cerita lucu atau lawak jenaka 
Bahagian lawak jenaka biasanya dilakonkan oleh 10 hingga 14 orang pelakon. Jenis peranan (role types) dalam bahagian ini terdiri daripada beberapa orang biasa dari kamoung dan seorang penghulu atau pegawai profesional seperti doktor atau pegawai kerajaan. Tema cerita dikisahkan secara lawak jenaka dan komedi slapstik dengan dialog yang diimprovisasikan.
Lazimnya sebuah pancaragam menghasilkan muzik instumental untuk mengiringi cerita dan membunyikan kesan bunyi apabila diperlukan.
 • bahagian lagu vokal dan tarian
Bahagian yang kedua dalam persembahan boria terdiri daripada lagu vokal dan tarian yang berulang-ulang. Bahagian ini dimainkan oleh korus dan seorang penyanyi, iaitu seramai 30-40 peserta. Peserta korus juga menari dan mereka ini digelar kelasi atau sailor, sementara penyanyi solo atau ketua penyanyi dikenali sebagai tukang karang. Tukang karang ini berdiri di pentas di hadapan mikrofon, manakala korus/penari berdiri berbaris-berbaris di belakang tukang karang.
Bahagian kedua persembahan boria ini bermula dengan muzik instrumental oleh pancaragam yang menghasilkan lagu tertentu yang berasaskan irama dan rentak cha-cha, rhumba atau arian popular Barat yang lain. Serentak dengan muzik insrumental ini tukang karang menyanyikan senikata rangkap pertama. Rangkap ini berstruktur 4 baris senikata dengan skema rima tertentu yang tetap misalnya rangkap pertama dengan skema a,a,a,a dan rangkap kedua dengan skema b,b,b,b dan seterusnya. Misalnya:

BORIA TERKENAL DI PULAU MUTIARA
KINI DIKENALI DI SELURUH NEGARA
IRAMANYA CERIA RIANG GEMBIRA
BORIA OMARA MEMBUKA ACARA

AKHIR KATA KAMI BERPESAN
BORIA BUKAN SEKADAR HIASAN
SENI BUDAYA SEBUAH BINGKISAN
BORIA OMARA MENYAMBUNG WARISAN
Rangkap yang dinyanyikan oleh tukang karang diiringi oleh pancaragam dan pada waktu yang sama korus/penari mula bergerak dengan langkah-langkah tarian tertentu. Korus/penari biasanya akan bergerak serentak. Apabila tukang karang selesai menyanyikan rangkap pertama, korus akan mengulangi senikata dan melodi rangkap itu sambil menari mengikut rentak lagu. Selepas itu, tukang karang akan menyanyi rangkap kedua pula sementara korus terus menari. Tukang karang dan korus berselang-seli begini sehingga 12 -20 rangkap dinyanyikan. Tema senikata semua rangkap bertumpu kepada tema utama cerita persembahan boria itu.

Alat-alat muzik dan repertoir

Persembahan cerita dan lagu vokal serta tarian dalam teater boria diiringi oleh pancaragam yang biasanya duduk di bahagian belakang pentas.  Ensembel ini biasanya terdiri daripada berbagai-bagai alat muzik kerana peralatan muzik yang digunakan dalam setiap persemabahan boria ini tidak bersifat khusus.  Hal ini kerana aspek yang dipentingkan ialah keupayaan para pemuzik untuk mengiringi nyanyian tukang karang.  Lantaran itulah kadang-kadang alat muzik yang digunakan hanyalah gendnag dan violin sahaja.  Walau bagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik yang dapat digunakan semakin baiklah persembahan tersebut.  Namun begitu, pada masa dahulu alat muzik yang sering digunakan adalah seperti violin, gambus, marwas, tabla, akordion, gendang, simbal dan harmonika.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai alat muzik moden dari Barat turut digunakan dalam setiap persembahan boria ini seperti gitar elektrik yang menghasilkan melodi dan irama, set dram Barat, tamborin dan kibord elektrik.
Sebagai bentuk hiburan yang  bertumpu kepada cerita-cerita tertentu atau iau-iau sosial semasa dalam komuniti Melayu Pulau Pinang, teater boria menonjolkan ciri-ciri sinkretik.  Ciri-ciri ini termasuklah kegunaan struktur persembahan tertentu, tema-tema tempatan, struktur rangkap tempatan, muzik tarian popular Barat serta pancaragam yang mengutamakan alat Melayu, Barat, India, Arab dan lain-lain lagi.
Hubungan di antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan amat erat sekali. Seandainya cerita yang dimainkan merupakan cerita Arab, maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab.  Muzik dan tarian yang dimainkan pun mirip kepada irama Arab.  Malah bahasa yang digunakan lebih kepada telor Arab.

3.0 KESIMPULAN
            Kesimpulannya terdapat banyak lagi jenis-jenis tarian masyarakat di Malaysia. Semua jenis tarian mempunyai sejarah dan tujuan yang tersendiri. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah mengenali budaya setiap masyarakat yang ada di negara kita. Sebagai contoh mengetahui serba sedikit mengenai budaya tarian dan juga budaya-budaya lain masyarakat di Malaysia. Oleh itu, secara tidak langsung kita dapat menyokong saranan Perdana Menteri tentang Satu Malaysia.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan bermatlamat untuk mewujudkan satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu-padu. Objektif Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan,Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan, dan Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi. Usaha ini harus dipuji memandangkan semangat gigih pasukan dalam mengangkat tarian warisan ini merupakan salah satu daripada tarian yang telah diiktiraf sebagai warisan kebangsaan.

4.0 RUJUKAN

Ammal. (2010, Seotember 29). Tarian Tradisional. Didapatkan April 20, 2015, daripada Kepelbagaian Bangsa Malaysia-1 Malaysia: http://ammal90.blogspot.com/2010/09/tarian-tradisional.html
Jamal, J. B. (2010). Pergerakan Kreatif. Didapatkan April 21, 2015, daripada Helaian Coretan: http://nikzaitonmatnoor.blogspot.com/p/nama-ahli-1-jalaludin-bin-jamal-2-n
Klik, 1. (2008, November 14). Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Didapatkan April 20, 2015, daripada 1 Klik: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-kenegaraan/238-dasar-kebudayaan-kebangsaan.html
Maruwiah. (2009, Jun 24). Pakaian Tradisi Kaum Semenanjung Malaysia. Didapatkan April 20, 2015, daripada Maruwiah Ahmat: http://maruwiah.com/category/budaya/pakaian-tradisional-budaya/
Motac. (2015, April 17). Bahagian Dasar Kebudayaan. Didapatkan April 20, 2015, daripada Motac: http://www.motac.gov.my/profil/bahagian/801-bahagian-dasar-kebudayaan
Mykedah.com. (2015). Mek Mulung. Didapatkan April 20, 2015, daripada Mykedah.com: http://www.mykedah2.com/10heritage/105_5_p2.htm
Negara, J. K. (2015, Januari 20). Objektif dan Fungsi. Didapatkan April 20, 2015, daripada Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara: http://www.jkkn.gov.my/ms/objektif-fungsi
Noorzarina. (2010, Augest 25). Tajuk: Boria. Didapatkan April 21, 2015, daripada Sembang Boria: http://boria-kita.blogspot.com/2010/08/latar-belakang-boria.html
Safarizan, S. (2014, April 18). Dasar Kebudayaan Kebangsaan (Penulisan Ilmiah). Didapatkan April 20, 2015, daripada Diari Budak Kampung: http://budakv.blogspot.com/2014/04/dasar-kebudayaan-kebangsaan-penulisan.html
Studio, S. D. (2014, November 6). Pentingnya Olah Tubuh Bagi Penari. Didapatkan April 20, 2015, daripada Spectra Dance Studio: https://spectradancestudio.wordpress.com/2014/11/06/pentingnya-olah-tubuh-bagi-penari-2/
Zaid, L. S. (2011, Mei 25). Pakaian Tradisional Sabah dan Sarawak. Didapatkan April 20, 2015, daripada Warisan Kebangsaan 1 Malaysia: http://taman14.blogspot.com/